Lawatan Teknikal PlanMalaysia@Johor ke PIPC
Seramai 35 pegawai dan kakitangan PLANMalaysia Johor telah melawat Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) untuk mendapatkan pemahaman berkenaan perancangan dan kemajuan pembangunan industri hiliran minyak dan gas di Pengerang, Johor. Pada 2 November 2021, delegasi PLANMalaysia Johor menerima taklimat perancangan dan pembangunan PIPC oleh Encik Izhar Hifnei Ismail, Timbalan Ketua Eksekutif, JPDC dibantu oleh Cik Joann Johani, Naib Presiden, Perancangan, JPDC. Taklimat berkenaan Pengerang Deepwater Terminals (PDT) telah disampaikan oleh Encik Shahruddin Ahmad, Pengurus Besar, Jabatan Perhubungan Kerajaan, Dialog Corporate Sdn Bhd. Dalam lawatan kawasan PIPC, delegasi PLANMalaysia Johor meninjau projek-projek prasarana yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyokong pembangunan industri hiliran minyak dan gas di PIPC, termasuk naiktaraf Jalan Persekutuan FT92, lebuhraya baharu sepanjang 15 kilometer dari Bukit Pelali ke Tanjung Pengelih dan sistem perparitan baharu di dalam kawasan perindustrian PIPC. Delegasi tersebut turut melawat kemudahan-kemudahan awam baharu yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan kompleks perikanan, di samping membuat lawatan lalu di dua projek industri utama, iaitu Pengerang Deepwater Terminals yang dibangunkan oleh DIALOG Group Berhad dan Kompleks Bersepadu Pengerang yang dibangunkan oleh PETRONAS.