Majlis Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Punggai
Pada 21 Mac, Majlis Penyerahan Projek Balai Bomba dan Penyelamat Punggai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pasukan Projek Khas PIPC kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, telah dilangsungkan. Balai bomba kategori D tersebut dilengkapi 1 jentera bomba, 10 orang anggota Bomba tetap dan 15-18 orang anggota bomba sukarela yang terdiri daripada penduduk tempatan. Tuan Mohd Fadli Bin Ismail, Penolong Penguasa Bomba balai tersebut memberitahu, “Pada peringkat awal, balai bomba Punggai dapat merangkumi Kawasan Ice Petroleum Yard Teluk Ramunia sehingga Teluk C sebelum Bandar Penawar (selepas Golf Course).” “Mengikut situasi bomba dari kawasan kebakaran, jentera dari balai bomba Punggai mengambil masa untuk keluar balai adalah 1 minit, manakala jarak perjalanan mengambil masa 44 saat untuk setiap 1 km, “ kata PB Lester, Pegawai Bomba Punggai. “Manakala, Radius Kawasan yang diliputi masih lagi dalam perbincangan buat masa ini.” Balai Bomba dan Penyelamat Punggai sebagai salah satu dari 3 projek balai bomba yang dibangunkan oleh JKR Pasukan Projek Khas PIPC merupakan balai bomba yang pertama beroperasi bagi kawasan PIPC. Ianya mempunyai masa tindak balas kecemasan (ERT) kurang dari 10 minit. Hadir di majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Haji Yahya bin Haji Madis, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Datin Sri Ir Hajah Nor Asiah binti Othman, Pengarah Pembinaan JKR Pasukan Projek Khas PIPC, Tn. Haji Ir Mohd Said bin Sidik, Timbalan Pengarah Kerja Raya, JKR Johor, dan Encik Mohd Azmi Bin Monadi, Ketua Pasukan Pengurusan Program (PMT), JPDC, serta pegawai-pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.