PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA WABAK DENGGI DI TAMAN BAYU DAMAI
Satu program gotong - royong perdana anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kapal bagi menangani wabak denggi telah diadakan di Taman Bayu Damai dan JPDC dijemput untuk turut serta. Seramai 78 orang dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, Klinik Kesihatan Bayu Damai, Angkatan Tentara Malaysia (ATM) Tanjung Sepang, Balai Polis Bayu Damai, PETRONAS, JPDC, Ranhill SAJ, Pejabat Penghulu Mukim Pantai Timur dan Pengerang, SK. Sungai Kapal dan penduduk sekitar yang turut serta untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di Taman Bayu Damai. Sejumlah 68 unit rumah telah diperiksa, dan 8 unit yang disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk, telah dipotong rumput dan disembur racun. Setakat ini, sebanyak 7 kes denggi telah dilaporkan di Klinik Kesihatan Bayu Damai dan telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan dan pemantauan lanjut. Cik Nurul Fatin Nabilah Mat Dasa dari Bahagian Kesihatan Persekitaran, PBT Pengerang berkata "Langkah pertama yang perlu diambil untuk manghapuskan denggi ialah cari dan musnahkan tempat pembiakan jentik-jentik khususnya di dalam rumah.” Penduduk disarankan untuk mencari dan membersihkan kawasan tempat pembiakan Aedes di kawasan rumah mereka dan tidak bergantung kepada semburan kabus atau fogging yang hanya membunuh nyamuk dewesa dan bukan jentik-jentik. "…pastikan tiada takungan air di dalam kawasan rumah yang boleh dijadikan tempat pembiakan aedes…jentik-jentik, perlu dimusnahkan dan perlu kerap membuat pemeriksaan di kawasan rumah," kata Siti Aminah Mohamad, Jururawat Klinik Kesihatan Bayu Damai. Kampung Sungai Kapal yang terletak di Taman Bayu Damai merupakan salah satu daripada 7 buah kampung di Pengerang yang telah dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan Pengerang Integrated Complex (PIC) dan Pengerang Deepwater Terminals (PDT) di Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).