Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Kerajaan Persekutuan di PIPC
Pada 30 Oktober 2019, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Kerajaan Persekutuan di PIPC atau lebih dikenali sebagai Federal Projects Steering Committee (FPSC) telah diadakan. Mesyuarat bilangan keempat bagi tahun 2019 itu telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ismail Hj Bakar, Ketua Setiausaha Negara. Tan Sri KSN memaklumkan 3 projek yang telah disiapkan pada suku ketiga tahun ini iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit, dan juga Jalan Baharu P4. Selain itu, beliau juga memaklumkan tentang majlis Perasmian Jalan Persekutuan P1, P2 dan P4 oleh YB Menteri Kerja Raya dan YAB Menteri Besar Johor pada 26 September yang lalu. “Dengan berbaki empat buah pakej dalam fasa pembinaan dan tambahan lima lagi pakej baharu di dalam fasa pra-pelaksanaan serta beberapa projek di dalam perancangan, diharap ianya dapat merealisasikan matlamat menjadikan Johor sebagai hub aktiviti hiliran berkaitan petroleum seperti yang direncanakan berdasarkan penetapan Taburan Wilayah Ekonomi, KEGA di bawah Teras Strategik Keterangkuman Wilayah di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” kata Tan Sri KSN di dalam ucapan aluannya.